Recent Posts

Friday, November 13, 2009

Sejarah Seni Visual (III)

Malaysia Life Batik 92cm x 183cm

Self Portrait 1970 Batik 61x45cm

Pelukis Malaysia pertama yang mengadakan pameran solo di seberang laut ialah Chuah Thean Teng yang diadakan di London pada tahun 1959. dan dipersembahkan oleh Majlis Kesenian Persekutuan. Catan batik eksotik yang dihasilkan sejak beliau membuka Yahong Gallery pada tahun 1955 telah meninggikan taraf batik daripada hasil pertukangan tangan kepada bentuk seni halus. Kejaan Chuan telah membawa seni Malaysia kepada seni antarabangsa. Seterusnya pelukis-pelukis batik yang lain seperti Khalil Ibrahim, Tay Mo Leong dan Toya turut menerima pengiktirafan antarabangsa.

Tahun 1960an
Seni lukis aliran utama 1960an adalah dengan nilai-nilai mistikal dan semesta telah menarik perhatian audien untuk menghayatinya kerana mempunyai kelainan. Dengan adanya tradisi seni khat telah membentuk satu pengucapan gambaran yang tersendiri. Lahir pandangan yang kritikal terhadap seni lukis. Pelbagai aktiviti dijalankan melalui saluran media massa. Antaranya ialah perbincangan, ceramah, syarahan, laporan, pameran dan sebagainya. Acara-acara seni lukis menjadi acara gemilang yang dihadiri oleh pelukis-pelukis, pencinta seni, ahli politik dan diplomat.

Special Teachers Training Institute (STTI) ditubuhkan pada tahun 1960 yang kemudiannya ditukar kepada Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK). Guru-guru yang berminat di bidang seni diberi peluang melanjutkan pelajaran melalui kursus sepenuh masa selama satu tahun. Mereka yang menunjukkan bakat besar dihantar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Golongan pelukis-pelukis dan pendidik seni telah menjadi tenaga utama seni lukis pada lewat tahun 1960an. Kakitangan akademik Jabatan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas seperti Syed Ahmad Jamal, Anthony Lau, Lee Joo For, Cheong Laitong, Jolly Koh dan lain-lain lagi memainkan peranan yang penting dalam seni lukis avant-garde di negara ini. Institusi Senilukis yang pertama ditubuhkan ialah Malayan Institut of Art pada tahun 1966. Institusi persendirian ini menawarkan kursus-kursus diploma selama tiga tahun dalam bidang Fine Art, Commercial Art dan Interior Design di samping kursus-kursus sambilan.

Penubuhan Institut Teknologi Mara pada tahun 1967 telah melahirkan sekumpulan tenaga baru pendidik seni dan usahawan-usahawan Melayu dalam bidang seni tertentu. Ia menawarkan kursus diploma selama empat tahun dalam bidang Fine Arts (Painting and Sculpture), Graphics, Photography, Fine Metal, Pottery and Ceramics, Textiles, Fashion dan Industrial Design.

Kuala Lumpur College of Art telah ditubuhkan dalam tahun 1968 dengan menawarkan kursus diploma selama tiga tahun dalam bidang Painting, Sculpture, Ceramics, Chinese Brush Painting, Photography dan Commercial Art. Tahun 1970an

Awal tahun 1970an pensyarah-pensyarah Intitut Teknologi Mara telah mengambil alih tempat avant-garde. Mereka terdiri dari kumpulan ’New Scene’ seperti Redza Piyadasa, Sulaiman Haji Esa, Chong Kam Kow, Tan Teong Eng, Joseph Tan dan lain-lain lagi. Kumpulan ini telah mendebarkan keadaan seni lukis tempatan dengan ungkapan-ungkapan yang mencabar. Pendekatan gaya catan mereka yang berasaskan optik dan maklumat telah mengejutkan pelukis-pelukis tempatan dan masyarakat umum.

Pelukis-pelukis bukan sahaja berkarya dalam bidang minimal, pop, op dan lain-lain aliran semasa tetapi juga menyarankan seni melibatkan kepintaran, nilai-nilai mistika dan metafisika iaitu maklumat dan ilmu yang luar dari bidang catan. Catan hard-edge yang menegaskan kedataran dan tanpa isyarat yang dipelopori oleh Chong Kam Kow, Tan Teong Eng dan Tong Tuck telah mempunyai ikutan yang teguh di awal 1970an.

Thursday, July 30, 2009

Sejarah Awal Seni Visual (II)

Persatuan Seni Singapura mengadakan pameran-pameran dan aktiviti-aktiviti seni di dalam dan di luar negeri yang dibuka kepada semua pelukis tanpa mengira bangsa dan darjat. Walker, pelukis mahir aliran Impressionisme telah melatih beberapa pelukis terkemuka seperti Lim Cheng Hoe. Lim diiktiraf sebagai pelukis cat air yang terunggul di mana beliau juga memberi ilham serta menjadi mentor kepada golongan pelukis generasi ini. Lee Man Fong, pelukis penting dalam seni lukis Singapura berhijrah ke Singapura dari Indonesia pada tahun 1967. Dilahirkan di Kanton, China pada 1913, beliau berpindah ke Jakarta pada 1932 dan bekerja sebagai pelukis komersil. Pada tahun 1947, beliau mendapat biasiswa kerajaan Belanda untuk menuntut kesenian di negeri Belanda. Beliau seterusnya dilantik sebagai pelukis Istana Presiden oleh Presiden Sukarno.

Pada Disember, 1941 pendudukan jepun telah mengekang semua aktiviti kebudayaan. Kempeitai iaitu polis tentera Jepun telah mengawasi kumpulan-kumpulan kebudayaan China. Rekod-rekod dan bukti-bukti fotografik lawatan Kelab Seni Lukis China Pulau Pinang telah dibakar sebagai langkah berjaga-jaga. Pada tahun 1945 keseniang di Pulau Pinang telah dihidupkan semula dengan penubuhan Kumpulan Pendidik Seni Pulau Pinang di bawah Jabatan Pendidik Seni, Pulau Pinang. Pada tahun 1948, Tay hooi Keat menjadi warganegara Malaysia pertama yang pergi ke Britain untuk mempelajari seni lukis di Camberwell School of Art. Setelah perang tamat, pusat seni telah beralih dari Paris ke New York. Para pelukis Amerika Syarikat memulakan pergerakan seni seperti Action painting, Ekspressionisme abstrak, Seni Pop, Seni Op, Performance Art, Minimalisme, Seni Konseptual dan sebagainya. Pelukis-pelukis tempatan yang pergi ke luar negeri turut terdedah kepada pelbagai pengaruh aliran seni.

Selepas perang tamat, Pulau Pinang menjadi pusat daya tarikan para pelukis. Frank Sullivan, penaung seni yang terkenal telah menemui Mohd Hoessein Enas di Pulau Pinang pada tahun 1949 dan telah menggesa beliau berpindah ke Kuala Lumpur . Hoession seterusnya menubuhkan Angkatan Pelukis semenanjung dan menjadi tokoh seni kebangsaan yang terkenal. Tahun 1950an

Pada tahun 1952, Majlis Pendidik Seni Pulau Pinang telah ditubuhkan dan diterajui oleh Tay Hooi Keat sebagai pengerusi. Di antara ahli-ahlinya adalah Lee Joo For, Tan Tin Kok, Kim Tong Juan, Tan Lye Hoe dan Chee Wee Sun. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri guru-guru sekolah aliran Bahasa Inggeris. Tay Hooi Keat yang kembali ke Pulau Pinang dari United Kingdom memperkenalkan konsep-konsep baru yang memeranjatkan masyarakat seni lukis tempatan.

Pada tahun 1952 juga Cheong Soo Pieng, Chen Chong Swee, Chen Wen His dan Liu Kang berkunjung ke Bali. Sekembalinya dari Bali mereka mengelolakan pameran bertajuk ’Empat Pelukis Kembali’ yang menyebabkan penciptaan susuk tubuh badan yang dikaitkan dengan seniman Nanyang. Pameran ini telah mendorong ramai pelukis tempatan seperti Khaw Sia membuat lawatan melukis ke Bali. Seterusnya pada tahun 1952 juga, Majlis Kesenian ditubuhkan untuk memberi sokongan, menjaga dan menggiatkan aktiviti-aktiviti dalam pelbagai bidang seni dengan bantuan kerajaan.

Pada tahun 1953, Persatuan Seni Pulau Pinang ditubuhkan di bawah pimpinan Loh Cheng Chuan. Majlis Kesenian Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun yang sama dengan souter sebagai Presiden, Tay Hooi Keat sebagai setiausaha dan A Sabapathy sebagai bendahari dan juruaudit. Kedua-dua pertubuhan ini telah mengadakan pameran-pameran seni secara tetap untuk ahli-ahli mereka. Mereka menganjurkan pameran solo untuk para pelukis tempatan serta pelukis luar negara yang membuat lawatan. Wednesday Art Group telah ditubuhkan pada tahun 1952 di Kuala Lumpur oleh Peter Harris. Pada awalnya terdapat kekurangan kegiatan seni yang serius di Kuala Lumpur. Peter Harris merupakan Penguasa Seni di Kementerian Pendidikan dan beliau adalah lepasan sekolah seni di United Kingdom. Beliau memperkenalkan estetik dan teknik seni lukis moden kepada guru-guru dan pelukis muda tempatan yang berminat. Di antara pelukis-pelukis yang mendapat tunjuk ajar dan galakan beliau ialah Patrick Ng, Cheong Lai Tong, Zakariah Noor, Ismail Mustan, Dzulkifli Buyong, Ho Kai Peng, Liu Siat Mooi, Grace Selvanayagam, Phoon Poh Hoon, Jolly Koh dan Syed Ahmad Jamal.

Pada tahun 1954, Persatuan Seni Selangor telah diasaskan oleh ekspatriat dan ahli-ahli seperti Fung Yow Chork, Zakariah Noor, Yong Peng Seng, Chong Hooi Fah, Syed Zainal dan Chong Sing Kwai. Kumpulan ini bertemu seminggu sekali pada hari Khamis di Sekolah Lelaki Methodist untuk membuat catan potret, figuratif, lukisan dan lakaran. Angkatan Pelukis Semenanjung iaitu APS yang kemudiannya dikenali sebagai Angkatan Pelukis Se Malaysia ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 1956 oleh Mohd Hossein Enas. APS bertujuan untuk mengumpul serta menyatupadukan pelukis-pelukis Melayu. Ahli-ahlinya telah mencontohi penasihat mereka, Mohd Hoessein Enas yang terkenal kerana potret realistik dalam cat minyak dan pastel. Antara yang terkenal dalam persatuan ini ialah Idris Salam, Mohd Sallehuddin, Sabtu Mohd Yusof, Mazli Mat Som, Ahmad Hassan, Yusof Abdullah dan Zakariah Noor.

Pada tahun 1957, Thursday Art Group telah ditubuhkan di Pulau Pinang dengan matlamat yang sama dengan Wednesday Art Group. Ahli-ahli terdiri daripada Abdullah Ariff, Tay hooi Keat, Kuo Ju Ping, Lee Joo For, Lim Tong Juan dan William K.K. Lau. Mereka memperkenalkan konsep-konsep baru, mengadakan kelas-kelas melukis, sesi perbincangan dan pameran. Menjelang kemerdekaan seni telah menjadi salah satu simbol kepada perpaduan kaum di Malaysia. Persepsi masyarakat terhadap seni telah mula berubah. Seni daripada taraf rendah (kedaerahan) meningkat ke peringkat antarabangsa.

Pada tahun 1957 Frank Sullivan telah dilantik sebagai setiausaha akhbar kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaya yang pertama. Ini membawa kesan yang mendalam dalam perkembangan seni Malaysia kerana usaha-usaha Sullivan yang bersungguh-sungguh untuk memperkenalkan para pelukis tempatan serta karya-karya mereka. Balai Seni Lukis Negara di 109, Jalan Ampang telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 27 Ogos 1958. Pameran pembukaan telah memaparkan karya-karya Chen Wen His, Cheong Lai Tong, Chuah Thean Teng, Mohd Hoessein Enas, Nik Zainal Abidin, Peter Harris, Patrick Ng, Syed Ahmad Jamal, Tay Hooi Keat dan Yong Mun Sen.

Selain Frank Sullivan yang menjadi setiausaha selama sepuluh tahun, antara yang telah membangunkan Balai Seni Lukis Negara adalah Tan Sri Mubin Sheppard, Tan Sri Ghazali Shafie, Tan Sri Dato’ Azman Hashim, Tan Sri Kamarul Ariffin, Tan Sri Zain Azraii, Professor Ungku Aziz, Puan P.G. Lim dan ramai lagi. Balai Seni Lukis Negara memperolehi koleksi tetapnya secara beransur-ansur. Dua koleksi yang menarik ialah gambar foto burung Dato’ Loke Wan Tho dan Koleksi hasil-hasil kaligrafi dinasti Sung yang didermakan oleh Lee Kah Yeow bernilai 2 juta ringgit.

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN SENI VISUAL DI MALAYSIA

Sejarah Awal Seni Visual (I)

Terdapat kepercayaan bahawa pengembara- pengembara Eropah dan Inggeris telah meminta pelukis-pelukis negeri-negeri Selat yang berketurunan Cina atau Melayu untuk melukis gambaran kehidupan tempatan yang bermotifkan flora dan fauna. Ini disebabkan oleh minat mereka atau sebagai rekod sejarah. Lukisan-lukisan dan catan-catan tersebut banyak ditempah oleh pegawai-pegawai Syarikat Hindia Timur yang ditempatkan di Malaya.

Pihak Inggeris telah memperkenalkan genre lukisan/ catan lanskap dalam aliran Realisme, zaman Pre-Raphelites, Turner dan Constable. Ini telah berterusan sehingga abad ke 19 apabile Seni Eropah terutamanya Seni Perancis mula memberi kesannya kepada seluruh rantau dengan pergerakan-pergerakan seni seperti aliran Impresionisme, Kubisme, Surealisme, Futurisme dan Konstruktivisme.

Sumbangan golongan Cina kepada perkembangan seni Malaysia dan Singapura berpunca daripada pendatang dan pelawat Cina seperti Xu Beihong yang telah bermastautin di Pulau Pinang untuk beberapa tahun. Mereka juga telah berkunjung ke Singapura untuk sesuatu jangka masa. Mereka telah menerima pendidikan dalam lukisan berus Cina dan kaligrafi di China.

Pada mulanya penghijrah-penghijrah awal dari China adalah untuk mencari sara hidup. Seni halus tidak pernah difikirkan . Hanya selepas mereka bertapak kukuh dan berjaya dalam kehidupan, barulah terdapat beberapa penghijrahan berdasarkan kretiviti artistik mereka. Terdapat yang terlibat dalam pendidikan Seni dan ada pula yang menjadi pelukis amatur. Antara yang berjaya dalam bidang seni ialah Lee Kah Yeow, Wang Yau, Reverend Chuk Mor, Reverend Pak Yuen, Chai Horng, Chung Hong Kong dan Zhen Wei Sin. Kesimpulannya pada awal tahu 1920an terdapat pelukis yang mempamerkan hasil karyanya. Pameran seni lukis yang terawal di singapura ialah pameran Lian Xiao Oh pada tahun 1924. Disusuli pula dengan pameran pastel He Qui Qo pada tahun 1926.

Aktiviti-aktiviti seni yang awal di Pulau Pinang bermula apabila pengasasan Pulau Pinang pada tahun 1786 oleh Sir Francis Light di bawah Syarikat Hindia timur. Pelukis-pelukis Inggeris yang tinggal di Pulau Pinang gemar melukis pemandangan laut dan keindahan alam semulajadi pulau itu. Kemungkinan terdapat pelukis tempatan yang membekalkan lukisan-lukisan kepada para penaung Syarikat Peniagaan Eropah.

Perkembangan seni lukis moden boleh dikesan sehingga tanuh 1920an semasa kumpulan penang Impressionist ditubuhkan. Kumpulan ini terdiri daripada ekspatriat Eropah yang kebanyakannya merupakan surirumah bangsa Inggeris. Disebabkan sikap-sikap kolonialistik pada masa itu, pelukis-pelukis tempatan Pulau Pinang tidak dibenarkan menyertai Penang Impressionist. Dua orang pelukis tempatan yang diterima menganggotainya ialah Puan Lim Cheng Kung dan Abullah Ariff. Abdullah Arif diterima dalam kumpulan itu kerana perkhidmatan beliau sebagai pendidik seni diperlukan, manakala Puan Lim pula isteri seorang jutawan yang dapat memberi sokongan kewangan.

Tahun 1920an merupakan peringkat yang penting dalam sejarah seni lukis Pulau Pinang. Yong Mun Seng telah datang ke Pulau Pinang dari Singapura dan mendirikan studio seninya. Pelukis pertama yang mengadakan pameran seni lukis di Malaysia adalah Ooi Hwa yang telah mempamerkan karya-karyanya di Pulau Pinang pada tahun 1927. Ooi Hwa dan Lee Cheng Yong mungkin merupakan pelukis pertama yang pergi ke luar negeri untuk mempelajari seni di Akademi Seni Halus Shanghai. SITC (Sultan Idris Training College) ditubuhkan pada tahun 1922. Mata pelajaran Pendidikan Seni diajar di samping subjek-subjek lain. Komponen subjek Pendidikan Seni diajar bersama-sama dengan pertukangan tangan seperti membuat bakul dan lain-lain seni pertukangan rakyat ketika itu.

Sukatan Pelajaran yang digunakan adalah pelajaran menggunakan mengkuang untuk membuat bakul bagi tahun pertama. Mereka dikehendaki mencipta corak-corak baru dengan menggunakan rotan dan buluh. Kerja-kerja tahun pertama disambung pada tahun ke dua dan penggunaan rotan dan buluh adalah lebih meluas lagi pada tahun ke tiga. Buku teks yang digunakan ialah ’Kitab Rajah-rajah Anyaman’ oleh guru anyaman Mr. W. Olaguera.

Penuntut-penuntut diberi pilihan untuk pertukangan kayu bagi melatih membuat perabot-perabot seperti meja kecil, almari buku, tongkat dan sebagainya. Dalam tempoh tiga tahun terdapat enam kelas pertukangan kayu. Pilihan seterusnya adalah menjilid buku di mana hanya sebahagian kecil penuntut tahun tiga sahaja yang mengikutinya. Menganyam jaring bagi permainan bola sepak, hoki dan bola tampar. Pertukangan tanah liat di mana hanya sebilangan penuntut sahaja dipilih untuk belajar membuat tempat bunga, periuk dan lain-lain daripada tanah liat.

Pada tahun 1935, sekumpulan pelukis di Singapura merupakan penuntut Sekolah Seni Halus Shanghai, Sekolah Seni Shanghai dan Universiti. Mereka telah menubuhkan Salon Art Studies Society yang kemudiannya ditukar kepada Persatuan Pelukis-pelukis Cina.

Persatuan ini menumpukan perhatian kepada perlaksaan pameran karya-karya pelukis asing, terutamanya karya pelukis-pelukis HongKong dan Cina. Pelukis tempatan turut diberi peluang untuk meluaskan pengalaman. Pameran tahunan mereka telah menjadi tradisi berterusan tanpa sebarang sekatan melainkan pada tahun-tahun peperangan 1942 hingga 1945. Ramai ahlinya merupakan staf Akademi Seni Halus Nanyang.

Akademi Seni Halus Nanyang diasaskan pada tahun 1938 oleh pengetuanya, Lim Hak Tai. Lim Hak Tai, seorang pelukis ternama dan berwawasan memperkembangkan kesenian dengan menubuhkan institusi yang pertama dan paling lama di Singapura. Di antara pelukis-pelukis terkenal yang menjadi tenaga pengajar ialah Cheong Soo pieng, Georgette Chen Li Ying, Chen Wen His dan Chen Chong Swee. Para pelukis ini telah datang ke Singapura selepas Perang Dunia ke Dua. Mereka dilatih di akademi-akademi Seni di Shanghai, kanton dan Amoy. Mereka juga didedahkan kepada pengaruh modenis aliran-aliran di Paris.

Pelukis-pelukis Nanyang memainkan peranan yang besar dalam perkembangan tradisi seni moden di Malaysia dan Singapura melalui aktiviti-aktiviti mereka. Mereka terkenal kerana menggabungkan konsep Barat dan Timur dalam hasil karya mereka, yang kemudiannya dikenali sebagai Nanyang. Apabila Cheng Yong kembali pada tahun 1932, beliau mengadakan pameran solo di Philomatic Union, Acheen Street. Pameran ini telah memberi kesedaran kepada pelukis-pelukis tempatan yang telah melukis bersendirian dan tidak sedar akan kewujudan pelukis-pelukis lain.

Pada tahun 1936, pelukis-pelukis Cina telah berkumpul di bawah pengaruh Yong Mun Sen, dan menubuhkan Kelab Seni Lukis Cina Pulau Pinang. Di antara pengasas kelab ini termasuklah Lee Cheng Yong sebagai Presiden, Yong Mun Seng sebagai Timbalan Presiden, Quan Kuan Sin sebagai setiausaha, Tay Hooi keat sebagai bendahari dan Kuo Ju Ping, Tan Seng Aun, Tan Gek Khean serta Wan Fee sebagai ahli jawatan kuasa. Mereka telah mengadakan Pameran seni dan Fotografi yang pertama. Kebanyakan karya yang dipamerkan adalah mengikut aliran Realisme Barat dan Post Impressionism di samping beberapa lukisan berus Cina tradisional. Pelukis-pelukis di seluruh Malaysia dan singapura telah diundang untuk menjayakan pameran ini. Pada tahun 1937, kumpulan Penang Impressionist yang mengadakan pameran tahunan secara tetap, telah menjemput ahli-ahli Kelab Seni Lukis Cina pulau Pinang. Jemputan ini amat menggalakkan pelukis-pelukis tempatan memberi sumbangan yang positif. Pameran ini merupakan pameran terakhir Penang Impressionist sebelum dibubarkan sebelum bermulanya Perang dunia Kedua. Kebanyakan ahlinya yang aktif telah pulang ke Eropah atau pun telah dipindahkan.

Kelab Seni Lukis Cina Pulau Pinang telah mengadakan dua atau tiga lagi pameran di bawah pimpinan Lim Cheng Ean (ayah P.G. Lim dan Lim Kean Siew, pengumpul karya seni) dan seterusnya dipimpin oleh Ong Keng Seng. Ketika peperangan, aktiviti-aktiviti pertubuhan terpaksa diberhentikan untuk sementara waktu kerana kawalan keselamatan yang dikenakan di kawasan desa dan pantai. Akhirnya, pertubuhan ini dibubarkan sebelum kemaraan jepun pada tahun 1941. Pada tahun 1949, persatuan seni Singapura telah ditubuhkan oleh beberapa ekspatriat seperti Dr. Gibson-Hill yang mengetuai Raffles Museum and Library, Richard Walker yang merupakan pengetua Seni Sekolah-sekolah Singapura, Francis Thomas iaitu guru Sekolah St Andrews, Suri Mohgani iaitu pelukis tempatan dan Liu Kang yang juga Presiden persatuan tersebut. Walau pun Liu Kang bukan seorang guru seni beliau disanjung tinggi sebagai pelukis yang cekap dan penglibatan aktifnya dalam Persatuan Pelukis Cina dan Persatuan Seni Singapura.

Tuesday, June 30, 2009

Penghasilan Seni Visual STPM

Kertas 970/3 adalah merupakan kertas penghasilan karya untuk calon sekolah yang mengambil mata pelajaran Seni Visual di peringkat STPM. Kertas ini menguji kemahiran calon untuk menghasilkan sebuah karya seni visual dalam bentuk pengkaryaan dan perekaan. Melalui bimbingan guru seni visual, calon akan melaksanakan projek berdasarkan pemilihan soalan yang telah dihantar oleh MPM pada awal Januari. Sepanjang lapan bulan (Februari hingga September)calon yang dibimbing oleh guru seni visual membuat projek yang dipilih berdasarkan soalan dari MPM. Aspek penting yang diberi penekanan ialah aspek penerokan idea, penghasilan karya @ produk dan pendokumentasian projek.

Oleh yang demikian pemilihan soalan oleh calon dalam kertas ini perlu dibincang bersama dengan guru pembimbing agar kepakaran guru pembimbing dapat membantu ke arah penghasilan yang baik. Kertas ini akan dinilai secara pendekatan pengujian authentic. Justru itu hasil kerja portfolio dan hasil karya perlulah memenuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. Beberapa perkara asas perlu dihalusi oleh guru pembimbing sebelum memulakan penghasilan projek penghasilan karya antaranya:

Arahan Kertas Soalan
Tanggungjawab Guru Seni Visual
Tanggungjawab Pengetua
Penghantaran Portfolio dan Hasil Karya
Arahan Penyedian Projek Penghasilan Karya.

Read more...

SKOP PENGHASILAN KARYA SENI VISUAL

Seni visual boleh dibahagikan kepada dua jenis penghasilan iaitu pengkaryaan dan perekaan.

I) Pengkaryaan
Ialah penghasilan seni halus dalam bentuk 2D dan 3D. Kebanyakan bahan-bahan yang terhasil menggunakan media dan teknik konvensional iaitu alatan dan media asas dan kurang mengunakan bantuan teknologi. Contoh pengkaryaan ialah Lukisan, catan, seni cetak dan arca.

II) Perekaan
Ialah penghasilan 2D dan 3D yang lebih banyak menggunakan teknik dan media baru berteraskan teknologi. Contoh perekaan ialah grafik dan multimedia ( komunikasi visual), reka bentuk teknologi seperti rekaan industeri ( automobil, logam halus, tekstil dll ) dan reka bentuk persekitaran seperti seni hiasan dalaman & seni lanskap.

Wednesday, March 18, 2009

Seni visual

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Seni visual adalah satu bentuk seni yang menumpukan kepada hasil penciptaan yang berbentuk visual seperti lukisan, fotografi, grafik dan filem. Kebanyakan disiplin kesenian seperti seni persembahan, bahasa dan masakan melibatkan aspek seni visual dan lain-lain seni, jadi definisi seni tidak terhad.

Dengan kata lain seni visual adalah sesuatu hasil/ciptaan yang boleh dinampak melalui penglihatan mata. Hasil/karya itu adalah bersumberkan daya fikiran dan kesenian yang mutlak dalam minda seseorang dan seterusnya diterjemahkan kepada objek yang nyata serta boleh dilihat seperti gambar, arca, model dan sebagainya.

Pengertian

Seni merupakan istilah yang sukar ditakrifkan memandangkan perkataan ini boleh digunakan mengikut bidang masing-masing dengan makna yang lain. Dalam istilah bahasa, seni bermaksud halus, cantik, teknik dan sesuatu yang bukan sains. Akan tetapi, ada yang menterjemahkan seni sebagai sesuatu yang cantik, indah, baik, dan cerdik yang boleh ditanggap melalui pancaindera seperti mata dan telinga. Dalam era moden ini, seni juga melibatkan sesuatu yang kreatif dan inovatif. Ia merupakan bidang yang berupaya untuk penghasilan dan pencipataan sesuatu karya dan ciptaan untuk manusia semata-mata untuk keindahan ataupun sesuatu fungsi kegunaan yang tertentu. Jadi, seni adalah ilmu terhasil daripada budaya dan agama dalam menghasilkan sesuatu untuk tujuan pemujaan Tuhan, menyebarkan nilai-nilai budaya seperti pakaian, dan sebagainya. Seni juga terhasil daripada industri yang bertujuan untuk menghasil sesuatu yang berorientasikan keuntungan dan bercirikan komersil melalui penciptaan barang yang berguna dalam kehidupan harian.

Seni juga boleh dipandang dari segi nilainya. Sesuatu yang indah tidak boleh dinilai dalam sebutan harga, walaupun masih ada yang menjualkannya pada harga yang melambung tinggi. Nilai kesenian itu terus diturunkan kepada generasi yang lain di mana ia menjadi satu sejarah atau pantulan yang mengisahkan tentang masa silang.

Seni visual dan pendidikannya
Seni visual adalah penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat kerana ciri-ciri sesuatu karya seni dipercayai boleh mempengaruhi tanggapan seseorang dari segi sosiologi dan psikologi. Dalam hidup harian, kami sentiasa bertembung dengan barang-barang hasil daripada bidang seni seperti kereta, pen, majalah, makanan dsb. Jadi, bidang ini telah dijadikan sebahgian daripada kurikulum di sekolah dan institut pengajian tinggi. Di Malaysia, subjek "seni visual" boleh diambil oleh pelajar yang menduduki Peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM). Namun, buku rujukan untuk STPM adalah terhad dan cuma sebuah buku yang diterbit oleh Oxford Fajar dijual di pasaran. Kerajaan juga menggalakkan pelajar-pelajar agar mereka menimba ilmu ini melalui internet supaya mereka diperlengkapkan pengetahuan yang mencukupi bagi menduduki STPM. Oleh itu, seorang pengajar tempatan, Chan Kar Weng telah meletakkan maklumat-maklumat seni visual di wikipedia melayu bagi dimanfaatkan oleh semua pelajar. Beliau percaya bahawa cuma dengan adanya sumber ini, pelajar-pelajar baharulah terus mengikuti program seni visual di peringkat sekolah. Subjek ini adalah mustahak kerana ia adalah ilmu asas bagi mereka yang akan mngikuti senireka dalaman, senireka grafik, senireka automobil, fesyen, tekstil dsb.

Keindahan

Setiap orang mempunyai persepsi terhadap keindahan yang lain. Sesuatu objek yang kelihatan indah mungkin tidaklah 'cantik' kepada orang lain. Jadi, mesej yang disampaikan serta maksud yang diterjemahkan ke dalam bentuk karya/hasil seni ini adalah amat penting. Contohnya, seseorang anggap poster yang mempunyai sebaris perkataan "A Star is Born" dan ilustrasi seperti satu bintang di latar belakang yang gelap tidaklah begitulah cantik dan indah. Namun, ia adalah 100% indah jika ia dapat memenuhi kehendak untuk poster itu serta mesej yang disampaikan adalah ringkas dan jelas.

Oleh itu, keindahan dalam sesuatu hasil seni perlulah mempunyai ciri-ciri berikut:

* Objek: Subjek yang menjadi fokus utama dalam suatu karya (contoh: figura manusia
dalam poster konsert)
* Komposisi: Unsur seni dan prinsip seni yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu
karya (contoh: garisan pada suatu lukisan dengan warna harmoni digunakan)
* Tema: Tajuk dan fokus penting untuk sesuatu karya (contoh, derma darah adalah
sasaran penting dalam suatu poster)
* Makna: mesej di sebalik suatu karya adalah jelas
* Fungsi: Fungsinya adalah fungsi estetik ataupun fungsi penggunaan atau kedua-duanya

Saturday, March 14, 2009

KRITIKAN SENI SENI TAMPAK DI MALAYSIA

Seni tampak atau seni visual telah lama berkembang di Malaysia. Adalah dipercayai lebih dari 200 tahun dulu. Namun kewujudan seni ini hanya menjadi satu kepentingan pada negara mulai tahun 1930-an saja. Melihat kepada kepentingan seni ini, tidak ada satu kajian khusus dilakukan terhadap kepentingan kritikan seni. Sudah sampai masanya bidang kritikan seni perlu dikaji dengan lebih mendalam lagi. Tujuan utama kajian ini di peringkat awal ialah untuk meninjau sejauhmanakah perkembangan kritikan seni telah berlaku dalam dunia seni tampak di Malaysia khususnya seni catan. Apakah kritikan seni dapat menyumbang ke arah kemajuan atau di sebaliknya dalam arus perkembangan seni catan. Bagaimana penerimaan artis terhadap peranan kritikan seni ini. Hasil kajian ini juga akan menjadi faktor menentukan sejauhmanakah kritikan seni dapat memainkan peranan penting dalam perkembangan seni catan di Malaysia.

Baca selanjutnya

Monday, November 24, 2008

CONTOH LUKISAN PERSPEKTIF









CATAN PELUKIS MALAYSIA


Mohamed Hoessein Enas (1924-1995)
Untitled, c. late 1950s - early 60s, Oil on board, 49 x 39 cm


Hossein Enas, The Harvester
Hossein Enas, The Harvester, 1989


Yong Mun Sen (b.1896 - 1962),
Untitled, 1953, Watercolour on paper, 48.5 x 62.5 cm


Redza Piyadasa (b. 1939),
Malay Couple, 1988, Mixed media collage, 60 x 50 cm


Syed Ahmad Jamal,
Pfft!, 1967, Acrylic on canvas, 120 x 80 cm


Peter Harris (b. 1923),
Untitled (Minang lady), 1960, Pastel on paper, 36 x 24.5 cm


Latiff Mohidin (b. 1941)
Untitled (Berlin), 1962, Oil on canvas, 98 x 77 cm


Latiff Mohidin, Pago pago
Latiff Mohidin, Pago Pago


Chuah Thean Teng (b. 1914)
Footballer, c.1958-64, Batik, 87.5 x 67.5 cm


Amron Omar’s (b. 1957),
Study for Pertarungan II, 1980, Charcoal on paper, 78 x 108 cm


Tay Hooi Keat,
Penang Hill, 1973, Ink & watercolour on paper, 35.5 x 28 cm


Tay Mo Leong,
Kampung in the Moonlight, 1977, Batik, 80 x 60 cm


Cheong Soo Pieng (1917-1983)
Untitled (Harvesting), 1961, Oil on canvas, 89 x 120 cm

Monday, October 20, 2008

ASAS SENI VISUAL


4. Kadarbanding
Kadarbanding adalah berkenaan nisbah bahagian-bahagian tubuh individu atau objek. Di dalam karya seni visual, perhubungan bahagian-bahagian tubuh manusia adalah sukar untuk di ukur dengan tepat kerana kadarbanding adalah penilaian peribadi. Bahagian-bahagian dalam kadarbanding ini dianggap berkaitan mengenai keseluruhan dan apabila digabungkan bahagian-bahagian tersebut menghasilkan harmoni dan imbangan.

Dengan meletakkan tubuh lelaki di dalam rajah bulatan dan segi empat sama, Leonardo Da Vinci menyiasat tentang perhubungan kadarbanding bagi kepala, badan, tangan dan kaki.

5.Dominan
Sebarang karya seni visual yang menarik mesti mempamerkan kelainan yang menekankan kepada darjah kepentingan bagi berbagai-bagai bahagian. Kelainan ini dihasilkan daripada pertimbangan perantaraan dan kandungan. Biasanya, seniman menggunakan aspek kontra untuk menarik perhatian bagi sesuatu bahagian yang bermakna. Ini membuatkannya dominan.

Seniman atau artis harus melihat bahawa setiap bahagian mempunyai darjah kepentingan yang diperlukan. Seniman harus menggabungkan bahagian-bahagian ini dengan darjah kepentingan yang berbagai. Seterusnya kepada pergerakan berirama dan imbangan karya seni. Seniman menggunakan kaedah yang berbeza untuk memperolehi dominan.

Figura manusia menjadi fokus tumpuan atau unit-unit yang penting pada karya di atas kerana saiz, warna dan aktiviti mereka.

6.Pergerakan
Tatkala memerhatikan karya seni visual, kita seperti membuat satu pengembaraan. Seniman adalah pengarah yang membuatkan mata pemerhati begerak dengan selesa dan menmperolehi maklumat. Garisan dan rupabentuk (kebiasaannya yang panjang) dan rupabentuk berkontour kebiasaanya memberi penegasan ke arah yang sama.

Arca kinetik atau bergerak wujud tetapi kebanyakan arca dan permukaan gambar adalah statik.

Bulatan yang seakan berbuai dan seperti melambung menjana pergerakan persis pendulum.

7.Ekonomi

Artis akan mendapati bahawa jawapan kepada masalah visual yang pelbagai adalah wujudnya kerumitan yang tidak penting. Kadangkala artis hanya melibatkan sesuatu yang penting, menghapuskan penerangan detail, dan mengaitkan perkara tertentu kepada keseluruhan.

Ekonomi selalunya berkaitan dengan aspek ‘abstrak’. Abstrak adalah berkaitan dengan proses pengurangan kepada keperluan yang penting, berdasarkan stail ekspresi artis. Ekonomi dapat dilihat di dalam stail seni kontemparari seperti karya Pablo Picasso di bawah.


Pelukis telah meringkaskan struktur dua tubuh ini. Mengurangkannya kepada garis luaran dan warna yang pudar. Dengan penggunaan aspek ekonomi, artis telah mengabstrakkan dua figura itu untuk menguatkan ikatan ekspresi di antara mereka.

7 Dasar Organisasi (Seven Principles of Organization)


Dasar-dasar ini digunakan bagi membantu penyusunan elemen-elemen kepada satu aksi. Karya seni adalah hasil interpretasi peribadi dan harus dinilai sebagai ekspresi penuh.

1. Harmoni

Harmoni boleh dianggap sebagai faktor kepada pertalian yang teratur – berkaitan dengan bahagian-bahagian di dalam gambar. Pengulangan elemen seperti warna, jalinan, nilai dan sebagainya memberi penyesuaian kepada pertentangan yang wujud. Irama yang stabil wujud apabila unit-unit visual yang teratur diulang-ulang. Harmoni adalah kandungan kesatuan.

Pengulangan bermaksud perkara tertentu yang diulang-ulang. Pengulangan tidak semestinya memerlukan aspek yang sama tatapi boleh juga yang seiras atau hampir sama. Konsep pada corak boleh dianggap sebagai pengulangan. Pengulangan yang biasa pada corak boleh digunakan untuk mencipta harmoni dan irama.

Konsep motif hampir berkaitan dengan corak. Perbezaannya apabila satu unit dasar atau corak yang asli diberi pengulangan, ia dirujuk sebagai satu motif. Pengulangan dirujuk kepada kemampuannya menghasilkan irama.


2. Kepelbagaian

Kepelbagaian adalah mengimbangi harmoni. Sedang artis menghasilkan penyatuan kepada harmoni. Dengan kepelbagaian pula artis mencapai aspek individuliti dan minat. Minat merujuk kepada kemampuan membangkitkan perasaan ingin tahu dan mengekalkan perhatian pemerhati. Hal yang membangkitkan minat kepada visual adalah hasil penambahan kepelbagaian kepada komponen bergambar. Kepelbagaian diperolehi dengan penggunaan kontras dan perincian.

Kontras berlaku apabila elemen diulang2 dengan cara menjadikan ia nampak tiada kaitan; beberapa garisan lebar di dalam kawasan yang sempit. Perincian adalah cara lain kepelbagaian atau ketidaksamaan diwujudkan ke bahagian yang ketiadaan menarik di dalam visual. Ia boleh dianggap sebagai penambahan detail atau hiasan di sesuatu bahagian.


3. Imbangan

Di dalam seni kita berhadapan dengan imbangan bagi perkara yang berkaitan dengan tarikan graviti. Kebanyakan karya seni dipandang di dalam orientasi menegak iaitu berhubung dengan pandangan atas, tepi dan bawah. Imbangan bagi kandungan visual diperolehi secara menyeimbangkan tarikan ke bawah graviti komponen tersebut. Contohnya, bola yang yang diletakkan di bahagian atas kawasan gambar menghasilkan keadaan tegang, memberi aggapan bahawa graviti akan menyebabkan bola itu jatuh. Bola yang diletakkan di bawah atau di atas garis dasar menghasilkan keadaan tenang, Tiada tindakan berlaku oleh graviti.

Artis menyeimbangkan keadaan mendatar, menegak dan jejarian dalam semua arah dan posisi. Berbagai faktor seperti posisi, saiz, kadar, sifat, dan arah yang digabungkan dalam elemen, menghasilkan imbangan di dalam karya seni. Sekiranya dua rupa yang sama diletakkan bersebelahan di bahagian kiri gambar, karya itu akan kelihatan tidak seimbang pada bahagian kanan.

Bentuk dan Susunan Visual

Karya seni yang lengkap mempunyai 3 komponen, subjek, bentuk dan kandungan. Komponen ini bertukar hanya dalam penekanan yang diberi. Apabila kita melihat imej-imej, kita mengambil bahagian dalam membentuk atau menyusun visual. Satu objek adalah dipecahkan kepada elemen-elemen. Sebuah kerusi mungkin dilihat sebagai satu bentuk atau satau kumpulan garisan. Artis adalah pembentuk visual dengan satu perancangan. Mereka menyusun elemen-elemen seperti garisan, rupabentuk, nilai, jalinan dan warna sebagai rangkanya.

Elemen-elemen yang digunakan perlu dikawal dan disatukan. Artis mengurus perkara ini melalui gabungan dasar organisasi: harmoni, kepelbagaian, imbangan, ukuran, kawalan, pergerakan dan ekonomi. Perancangan artis selalunya berdasarkan gabungan gerak hati dan kebijaksanaan.


Kita lihat di sini artis politik ini menggunakan material yang sesuai dan mudah dijangka untuk subjek. Tanpa pengunaan bentuk yang berkesan, apa yang hendak dinyatakan akan kurang penekanannya.

Kandungan Seni Visual

Subjek, bentuk dan kandungan adalah 3 bahagian asas bagi hasil kerja seni. Merujuk kepada pemahaman secara tradisi subjek adalah berkenaan orang, benda dan tema. Bagaimana pun di dalam karya abstrak, subjek boleh dirujuk sebagai rupa bentuk tertentu berdasarkan elemen seni. Ini bagaimana pun bercanggah dengan dengan pemahaman tentang bentuk yang yang biasa difahami sebagai elemen yang diguna di dalam mencipta karya.

Kandungan didefinasikan sebagai mesej yang hendak diperkembangkan di dalam karya oleh artis dan di interpretasi oleh pemerhati seni. Ada masanya kandungan karya berasal daripada pengalaman peribadi artis. Pengalaman ini amat peribadi di mana ada kalanya sukar untuk pemerhati memahami melainkan mereka mempunyai pengalaman yang sama seperti artis.

1 Subjek

Subjek terdiri daripada orang, benda atau idea. Orang atau benda dapat dilihat dengan jelas tetapi tidak bagi idea. Di dalam karya abstrak atau separuh abstrak, subjeknya mungkin boleh dimengertikan. Tetapi di dalam karya ‘nonobjective’, subjeknya adalah idea yang membentuk karya tersebut dan ia berkomunikasi hanya dengan mereka yang dapat memahami bahasa rupabentuk itu.

Subjek adalah sebagai ‘starting point’ untuk motivasi artis. Cara sesebuah karya dipersembahkan atau rupa bentuk yang memberi ekspresi adalah paling penting untuk diambil kira.

2. Bentuk

Merujuk kepada objek seni maksud bentuk digunakan dalam berbagai cara. Bagi sebuah ukiran atau ‘sculpture’, anda boleh menyebut bentuk ukiran, maksudnya jelas. Bentuk juga bermaksud berkenaan dengan akhirnya (latter), keseluruhan fizikal bagi karya seni.


Bentuk di dalam ‘sculpture’ ini adalah pada satu bahagian utama, figura individu yang besar.

3. Kandungan

Mesej yang beremosi dan bijaksana di dalam karya seni adalah kandungan, pernyataan, ekspresi atau mood yang dibaca oleh pemerhati – dengan harapan seirama (synchronized) dengan tujuan artis itu.

Bagi kebanyakan orang kandungan terhad kepada gabungan ciri-ciri yang diketahui, biasanya oleh perasaan yang dibangkitkan oleh objek dan idea yang diketahui. Maksud kandungan yang lebih bermakna dan luas tidak hanya dilihat berdasarkan imej tetapi diteguhkan oleh rupabentuk yang dicipta oleh artis. Kandungan seperti ini terdapat di dalam karya abstrak dan yang lebih realistik.

Faktor emosi di dalam kandungan bagi fotograf ini adalah jelas. Tetapi artis ini telah memperkembangkan kandungan melalui cara dia mengawal situasi.

Asas Seni Visual

Pengenalan

Kajian masa silam membuktikan bahawa manusia sentiasa memerlukan seni. Daripada lukisan gua hingga kepada hasil ‘avant-garde’ abad ke 20, berbagai jenis stail telah muncul. Berbagai definisi dan interpretasi telah diwujudkan kepada stail-stail ini, contohnya Neoklasik, Realism, Impressionism, Futurism dan sebagainya. Walau pun penciptaan seni banyak berasaskan masa dan tempat, seni selalu dihasilkan kerana artis mahu menyatakan sesuatu dan menggunakan cara tertentu untuk meluahkannya. Bertahun-tahun artis-artis silih berganti dipuji, diabaikan, disalah ertikan, dan dikritik. Jumlah hasil seni yang telah dihasilkan sekarang adalah berasaskan pencapaian yang telah diperolehi pada masa lalu.

Di Malaysia seni kelihatan begitu terpisah daripada sebahagian besar masyarakat, terutamanya seni tampak. Sungguh pun begitu bilangan orang yang melawat galeri seni telah berlipat ganda. Penjualan catan telah meningkat dan ruang yang dikhaskan untuk seni dalam majalah juga bertambah.

Untuk menghayati seni kita mestilah memulakannya dengan usaha menghapuskan salah faham dan prasangka yang bersemadi di hati pemerhati yang tidak terlatih. Pendedahan mengenai cara-cara menghayati hasil seni yang betul dan logik perlulah diberikan . Orang ramai yang berminat kepada karya seni haruslah diberi kebebasan menggunakan kebolehan mereka sendiri untuk menghadapi karya seni. Tanpa bantuan pihak ke tiga untuk memberitahu apa-apa yang patut mereka lihat, mengapa mereka patut melihatnya, dan apa-apa yang sepatutnya dimaksudkan.

Untuk memperolehi kefahaman kepada berbagai bentuk seni yang wujud hari ini, seseorang perlu memahami asas-asas seni yang dikombinasikan ke dalam hasil kerja seni.

Di bawah ini adalah kandungan pengetahuan asas seni visual

1. Kandungan Seni
2. Rupabentuk dan 7 dasar organisasi
3. Garisan
4. Rupa
5. Nilai
6. Jalinan
7. Warna
8. Ruang
9. Kritikan hasil seni

Tuesday, October 7, 2008

Melukis Teknik Hatching & Cross Hatching


Click for more...

Monday, October 6, 2008

Kualiti Garisan


Kualiti garisan merujuk kepada setiap sifat garisan yang dihasilkan semasa melukis. Pelukis akan menentukan setiap garisan yang akan dibuat sama ada garisan tegas tanpa banyak variasi, variasi dalam pemberatan seperti pada lukisan kontour, garisan berulang-ulang (semacam pergerakan/ritma)-pergerakan fizikal.

Jelasnya kualiti garisan tidak menggambarkan tenaga gestural yang terhasil dari strok pensel (kekuatan tekanan yang diberi) atau arang atau medium yang lain semasa melukis. Garisan yang dihasilkan melalui lukisan menjadikan kualiti ini sebagai faktor penting dalam menentukan karektor ekspresif kepada imej terutamanya dalam lukisan kontour dan hatching.

Sifat dan jenis garisan dalam lukisan

Sifat Garisan
1. lembut
2. kasar
3. berserabut
4. tajam
5. menggerutu
6. licin
7. kesat
8. lurus
9. berduri
10.rapuh
11.tegas


Jenis Garisan
Antara jenis garisan yang sering digunakan dalam lukisan adalah seperti:
1. horizontal
2. vertical
3. diagonal
4. straight/ruled
5. curved
6. bent
7. angular
8. thin
9. thick/wide
10. interrupted (dotted, broken, dashed)
11. blurred/fuzzy
12. controlled
13. freehand
14. parallel
15. hatching
16. spiraling

PROSES PENGHASILAN LUKISAN

1. Meneliti secara keseluruhan benda atau imej.
2. Melihat kedudukan imej yang yang hendak dilukis mengikut aras mata.
3. Melakar rupa asas benda atau imej yang hendak dilukis.
4. Meneliti arah cahaya untuk menampakkan unsur ruang pada subjek yang dikehendaki
serta memahami jarak sesuatu benda yang wujud dalam ruang perspektif
5. Mengaplikasikan unsur seni reka seperti jalinan, bentuk dan tona warna serta
prinsip seni reka seperti keseimbangan, penegasan, kesatuan, dan harmoni.

Teknik Melukis



Klik untuk tutorial

Wednesday, September 24, 2008

LUKISAN

1.Lukisan ialah salah satu aktiviti penghasilan karya dalam bidang seni halus.
2.Lukisan menyediakan landasan asas untuk berkomunikasi dalam pelbagai cara dan
bidang.
3.Biasanya lukisan menggunakan media kering untuk menghasilkan karya.
4.Penghasilan lukisan bertujuan untuk mengkaji struktur bentuk subjek atau imej yang
dilukis secara teliti.
5.Lukisan akan mengikatkan kita dengan emosi, keintelektualan dan juga spiritual.
6.Lukisan juga boleh menyatakan luahan emosi, intelektual dan spiritual manusia.
7.Lukisan dapat mengembangkan kedua-dua minda dan semangat (spirit).
8.Justeru, lukisan dilakukan sebagai satu cara menghargai penglihatan dan pemikiran
manusia.

SEJARAH LUKISAN

Lukisan awal telah ditemui di dinding-dinding gua yang dihasilkan oleh manusia purba.

Lukisan tersebut berkisar tentang aktiviti kehidupan seharian seperti perburuan dan pengembaraan.

Di Malaysia lukisan gua telah dijumpai di Gua Niah, Sarawak dan Gua tambun, Perak.

Kebanyakan karya lukisan di dinding gua menggunakan gaya yang sama, iaitu imej binatang digambarkan dengan pelbagai kualiti garisan ringkas dengan komposisi yang hampir sama, iaitu memanjang dan berkumpulan serta menggambarkan pelbagai binatang yang mungkin menjadi hasil buruan untuk makanan mereka pada zaman dulu.

MEDIA
Media dominan ialah media kering seperti pensel dan arang untuk mendapatkan kesan rupa dan bentuk ilusi pada sesuatu permukaan.

Penghasilan mestilah memperlihatkan struktur sesuatu benda. Lukisan juga boleh dihasilkan melalui campuran media kering dan media basah. Contohnya, warna pensel dan warna air.

Penggunaan media basah seperti warna air juga boleh digunakan tetapi penggunaannya adalah secara terhad dan minimum.

Lukisan menitikberatkan kepada penghasilan struktur bentuk sesuatu benda dengan penggunaan pelbagai jenis garisan.

TUJUAN PENGHASILAN
Mengkaji struktur sesuatu benda dengan lebih terperinci menggunakan aplikasi unsur dan prinsip seni reka. Contohnya, memasukkan jalinan dan imbangan pada bentuk yang dilukis.

Gambaran awal atau gambaran ringkas sebelum penghasilan imej akhir. Contohnya, lukisan sesuatu imej dihasilkan sebelum penghasilan imej sebenar pada catan.

Menerusi lukisan juga boleh dijadikan sebagai sindiran atau komentar sosial dalam sesebuah masyarakat dan ia dapat mempengaruhi psikologi manusia. Contohnya, lukisan kartun yang menyindir sistem sosial dalam sesebuah masyarakat.

Lukisan juga dapat dijadikan sebagai luahan emosi dan ekspresi pengkarya melalui tema yang disampaikan melalui imej-mej tertentu.

JENIS LUKISAN
1.Lukisan Figuratif
Penumpuan kepada tubuh badan dan anatomi manusia


Pautan
2.Lukisan Fantasi
Lukisan imaginasi di alam nyata atau khayalan


3.Lukisan Ilustrasi
Lukisan yang mempunyai tema atau keterangan tertentu yang ingin disampaikan kepada audiens.


4.Lukisan Kajian
Merakamkan ketelitian pada subjek yang dikaji.
Contoh,memasukkan unsur jalinan, cahaya dan struktur bentuk yang terperinci


5.Lukisan Kontour


6.Lukisan Gesture
a.Menggunakan seluruh pergerakan tangan dan tidak terhad pada pergelangan tangan.
b.Dihasilkan sebelum penghasilan catan, arca atau seni grafik.
c.Dihasilkan dalam masa yang singkat dan digunakan untuk menyelaras antara kerja mata, minda dan tangan pada objek yang dilukis.


7.Lukisan Teknikal

Menggunakan skala tertentu untuk memastikan sudut pandangan dan kadar banding yang tepat.


8.Lukisan Kartun
a. Menggunakan pelbagai kualiti garisan dan garisan ringkas untuk menggambarkan watak-watak kartun
b. Digambarkan melalui tema jenaka

Related Posts with Thumbnails