Fungsi / Gunaan
Seperti juga produk yang lain, hasil seni visual juga ada fungsi atau kegunaannya sendiri. Ia boleh berfungsi sebagai alat dokumentasi contohnya catan dinding gua batu (dokumentasi sejarah atau aktiviti orang zaman batu), sebagai alat propaganda, ekspresi diri (luahan perasaan, emosi, idea dan lain-lain. Selain itu hasil seni kraf seperti tembikar berfungsi sebagai alat menyimpan air, ukiran sebagai hiasan dinding.
A. Pengalaman Estetik
Tajuk ini menyatakan tentang pengertian Seni Visual berdasarkan pengalaman estetik dan bagaimana pengalaman itu dapat dikuasai oleh pelajar. Aspek yang terlibat dalam pengalaman estetik ialah aspek pengalaman intelektual dan pengalaman langsung dengan karya seni itu. Kedua-dua bentuk pengalaman ini lebih kepada pendekatan atau methodology dalam penghasilan karya.
Seseorang pelajar atau pelukis boleh menguasai atau mengalami pengalaman estetik melalui pendekatan intelektual dan pendekatan langsung ini.
Pengalaman Intelektual (Proses sebelum penghasilan karya -Pendekatan Intelektual)
Bermaksud penghasilan sesuatu produk seni yang memerlukan proses kajian, pengumpulan maklumat, penguasasaan maklumat daripada pelbagai sumber yang berkaitan dengan produk yang hendak dihasilkan. Hasil maklumat akan dianalisis dan dikaji semula serta dibuat eksperimen tentang kesesuaiannya. Proses mengkaji dan mengumpul maklumat inilah yang dikatakan sebagai pengalaman intelektual. Ia juga melibatkan penerokaan yang berbentuk eksperimen. Melalui pendekatan intelektual seperti ini akan mempertajamkan lagi pengalaman estetik seseorang itu.
Contoh yang paling mudah ialah penghasilan reka bentuk kereta masa depan. Sebelum reka bentuk dihasilkan pelukis hendaklah membuat kajian terlebih dahulu tentang kereta berkenaan dari pelbagai sudut. Kemudian barulah model kereta dibuat. Proses mengkaji tersebut disebut sebagai pengalaman intelektual. Portfolio kerja kursus yang dihasilkan oleh pelajar juga merupakan satu contoh proses pengalaman intelektual. Portfolio merupakan satu proses yang harus dibuat oleh pelajar sebelum menghasilkan produk.
Pengalaman Langsung (Proses membuat karya-proses teknikal)
Pengalaman langsung juga menyumbang kepada pengalaman estetik seseorang itu. Pengalaman langsung atau direct contact ialah satu proses penghasilan produk seni. Berlaku hubungan langsung antara pengkarya dengan karyanya secara sedar. Koordinasi deria berlaku antara mata dengan tangan serta otak. Fikiran (otak) menyatakan tentang sesuatu yang bersifat kreatif. Proses mengindahkan karya berlaku. Proses ini disebut proses artistik.
Penglibatan deria:
Proses membuat karya juga merupakan satu proses teknikal baik pada peringkat permulaan atau peringkat berlangsungnya proses berkarya. Mata merupakan satu aspek deria yang penting dalam proses pengamatan. Melalui proses pengamatan kualiti visual yang ada pada objek seperti jalinan, ruang, ton dan lain-lain dapat dilihat dan diamati. Benda yang dilihat tersebut seterusnya akan ditangkap oleh minda dan kemudian dianalisis. Maklumat yang telah dianalisis tersebut kemudiannya ditapis oleh otak. Berlaku proses penambahan dan pengurangan maklumat yang telah diterima tadi. Kemudian berlaku proses koordinasi antara mata dan otak seterusnya mengalir ke tangan. Maka bermulalah proses membuat karya. Inilah yang disebut sebagai pengalaman langsung dimana semua proses berlaku semasa menghasilkan karya.
Recent Posts
0 comments:
Post a Comment